Najib Razak

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan parti MCA pernah meminta untuk menjadi timbalan beliau.

Katanya, tidak pernah ada satu pun parti komponen yang membuat permintaan sedemikian sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

“MCA tidak pernah meminta jawatan tersebut sejak saya menjadi PM.

“Mereka sangat gembira dengan tiga jawatan Menteri yang telah saya berikan kepada mereka,” katanya semasa melancarkan sambutan jubli intan Kelab Belia Bell Tamil di sini hari ini.

Tambah Najib, dakwaan yang mengatakan MCA meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah satu penipuan dan beliau mengarahkan parti komponen Barisan Nasional yang mewakili masyarakat Cina itu turut membuat penafian.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam blognya memperbetulkan kenyataan beliau sebelum ini bahawa yang meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah MCA dan bukannya DAP.

“Saya dilaporkan berkata bahawa DAP meminta untuk dilantik jawatan timbalan perdana menteri kedua. Saya ingin perbetulkan kesilapan. Bukan DAP tetapi MCA,” katanya. Dr Mahathir mendakwa, permintaan itu dibuat Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

Mahathir turut melampirkan laporan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia yang telah mengetengahkan permintaan Yuen Yow kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu berbunyi: “Datuk Loke Yuen Yow, Timbalan Setiausaha Agung MCA dalam laman webnya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Timbalan Pengerusi BN untuk diisi presidennya bagi mencerminkan “perkongsian kuasa sebenar”.

Menurut Yuen Yow lagi, jawatan kedua Timbalan Perdana Menteri untuk presiden MCA bukan sahaja merealisasikan konsep perkongsian kuasa, tetapi juga menunjukkan kerajaan memberi kepentingan kepada peranan dan sumbangan kaum Cina dalam proses pembinaan negara.- MalaysiaGazette