Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu supaya 569 buah koperasi kredit di negara ini supaya bergabung sebelum pindaan terhadap Akta Koperasi dilakukan pada Jun tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainduddin berkata, pindaan tersebut bakal menyaksikan pelbagai syarat pemberian pinjaman oleh koperasi akan diperketatkan.

Ini menurutnya, pasti akan menyukarkan koperasi-koperasi kecil untuk mematuhi akta berkenaan.

“Antara syaratnya adalah memastikan koperasi-koperasi yang memberi pinjaman wang mempunyai kecairan yang mencukupi.

“Jika boleh daripada 596 buah koperasi ini, kami mahu ia digabungkan menjadi kira-kira 200 sahaja.

“Ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan koperasi di negara ini dan seterusnya membolehkan mereka meneroka pasaran yang lebih besar,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020 di sini hari ini.

Tambahnya, koperasi kredit telah menjadi tulang belakang kepada gerakan koperasi di negara apabila dua bank koperasi dan 569 koperasi lain yang menjalankan aktiviti perkhidmatan kewangan menyumbang sebanyak RM30.1 bilion atau 89.8 peratus kepada perolehan gerakan koperasi yang berjumlah RM33.6 bilion pada 31 Disember 2015.
Sektor perkhidmatan kewangan koperasi mempunyai aset sebanyak RM116 bilion atau 94.1 peratus daripada jumlah aset keseluruhan koperasi iaitu RM123.3 bilion.

Dari segi keanggotaan pula, anggota koperasi kredit mencecah 3.4 juta atau 45.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota koperasi iaitu 7.5 juta orang.

Hamzah menjangkakan perolehan koperasi daripada aktiviti perkhidmatan pada 31 Disember tahun lepas adalah RM35 bilion. -MalaysiaGazette