Sany Hamzan
Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 membuktikan parti itu tidak mahu mentadbir negara, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd. Sany Hamzan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pada Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana Sumbangan Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut menyatakan, selain menyasarkan 40 kerusi parlimen, parti itu mahu mempertahankan Kelantan serta memerintah semula Terengganu dan Kedah.

Katanya, Ahli Parlimen Marang itu turut mengakui Pas sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri.

“Ia memberi gambaran lebih jelas bahawa Pas menyedari mereka tidak mampu memerintah dengan pendekatan politik mereka ketika ini.

“Pas secara tidak langsung telah memberi harapan palsu kepada penyokong mereka sendiri yang mengharapkan parti itu mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, menurut Mohd. Sandy, penyokong dan ahli Pas perlu berfikir secara rasional tentang realiti sebenar parti itu yang semakin jauh daripada semangat rakyat yang ingin membuat perubahan.

“Rakyat Malaysia khususnya kelompok yang masih keliru perlu melihat kenyataan Presiden Pas itu satu perkara serius.

“Rakyat perlu tahu Pas tidak berhasrat untuk memerintah negara oleh kerana mereka hanya mahu memenangi kerusi yang disasarkan,” ujarnya lagi.

Jadi, katanya, rakyat perlu memberi sokongan kepada pakatan pembangkang yang benar-benar komited untuk membuat perubahan dan menolak mana-mana pihak yang tidak bersungguh untuk menghadapi Barisan Nasional.

Dengan mengundi Pas pada PRU14 nanti akan merencatkan usaha pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia dari cengkaman Barisan Nasional, katanya. – MalaysiaGazette