Fotografi bersama Fazura selepas sesi Tandatangan Perjanjian "360 Talent Management" antara Universal Music & Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017
KUALA LUMPUR  – Artis popular, Fazura memilih syarikat rakaman gergasi, Universal Music dalam usaha mengembangkan karier seninya untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Kontrak yang ditandatangani Fazura itu bukan sahaja melibatkan karier sebagai penyanyi malahan termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan syarikat rakaman berkenaan.
Fazura, 33, memberitahu, dia memilih Universal Music kerana tawaran yang diterimanya sangat sukar dilepaskan.
“Saya cepat selesa dengan Universal Studio yang menyebabkan saya senang bekerjasama menerusi kontrak yang dikemukakan.
“Keputusan yang saya ambil ini bagi membolehkan karier dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Fazura ditemui pada sidang media menandatangani Universal Music X Fazura Pengurusan 360 di Hotel Le Meriden di sini hari ini.
Serentak itu, Fazura menampilkan single terbaharunya yang berduet dengan penyanyi Filipina, Jason Dy.
Dia berkolaborasi dengan pemenang The Voice Filipina musim kedua itu menerusi lagu Nothing Like Pag Ibig.
Jelas Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia hanya mengambil masa 30 minit untuk merakam lagu tersebut.
“Saya dapat lagu ini dua minggu sebelum proses rakaman.
“Proses agak mudah kerana saya sudah jumpa nada yang sesuai hasil bimbingan pihak Universal Music sebelum masuk studio rakaman.
“Saya juga ada membuat latihan vokal sendiri kerana tidak sempat mengikuti kelas vokal secara formal,” katanya.
Penyanyi, Fazura (dua kanan) bergambar kenangan bersama para penaja pada sesi Tandatangan Perjanjian "360 Talent Management" antara Universal Music & Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017
Penyanyi, Fazura (dua kanan) bergambar kenangan bersama para penaja pada sesi Tandatangan Perjanjian “360 Talent Management” antara Universal Music & Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017
Fazura sebelum ini mencipta nama sebagai pelakon apabila pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia di Festival Filem Malaysia ke-27 pada tahun 2014.
Dia mula menceburi bidang nyanyian apabila menghasilkan single pertama, Sayangi Dirimu pada tahun 2014 dan setahun kemudian berkolaborasi dengan grup Estranged menerusi lagu Hancur Aku. – MalaysiaGazette