Anuwar Hamzah

 

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Pasir Mas di Kelantan menerima tamparan hebat apabila seorang daripda Ahli Jawatankuasanya telah meletakkan jawatan dan keluar parti.

Anuwar Hamzah, 52, yang memegang jawatan itu sejak 2008 telah menghantar surat peletakan jawatan dan keluar parti kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pada 2 Februari lalu.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuatnya kerana kecewa dengan keadaan politik hari ini yang bercelaru dan memalukan.

“Dengan ini saya meletakkan jawatan sebagai AJK UMNO Bahagian Pasir Mas berkuatkuasa serta merta dan seterusnya keluar dari UMNO,” katanya dalam kenyataan kepada media di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Anuwar sebelum ini pernah dipilih sebagai Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Bahagian itu pada 2008 hingga 2013 dan memegang jawatan AJK Pemuda Bahagian dari 2004 hingga 2008.

Ujarnya, keputusan itu juga dibuat kerana sudah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hanapi Mamat.

Mengulas lanjut, kata Anuwar, beliau membuat keputusan itu dengan rela hati tanpa paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, Hanapi gagal dihubungi MalaysiaGazette untuk mendapatkan ulasan mengenai tindakan Anuwar. – MalaysiaGazette