Selebriti, Neelofa menyambut harijadi beliau pada majlis Pelancaran Koleksi Lady Lofa di Black Box Publika, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 07 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun ke-28 semalam, pengacara popular Neelofa menerima kejutan apabila dihadiahkan kek berharga RM20,000.

Kek dua tingkat itu merupakan hadiah daripada Swarovski Malaysia dan dihiasi dengan batu-batu permata berkilauan.

Kejutan itu diadakan sempena majlis pelancaran koleksi tudung terbaharu keluaran syarikatnya, Nealofar Hijab iaitu Lady Lofa dan Lady Lofa Luxe di Black Box Publika semalam.

Ia juga merupakan cawangan kedua butiknya di situ selepas Taman Tun Dr Ismail.

Tahun lalu, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor menerima kek berharga RM6,000.

Berkongsi impian untuk berkahwin tahun ini, ternyata Neelofa tidak pernah berganjak daripada kenyataan yang dia sebenarnya sudah bersedia ke arah itu.

Bagaimanapun mahu melihat semua itu daripada sudut realiti jelasnya, ia terserah kepada pada soal jodoh.

“Saya memang sudah bersedia berkahwin samada tahun ini, tahun depan atau dua lagi,” katanya tersenyum.

Mengulas mengenai koleksi tudung terbaharunya itu, Neelofa berkata, syarikatnya menyasarkan jualan Lady Lofa Luxe sebanyak RM2 juta apabila ia berada di pasaran bermula 28 Februari ini.

Jelas jutawan tudung itu, kebiasaannya koleksi tudung keluarannya akan habis dalam tempoh sebulan.

“Harganya akan diumumkan dalam masa terdekat ini dan keistimewaannya tentu sekali batu Swarovski yang boleh ditiru oleh mana-mana peniaga untuk menghasilkan tudung tiruan.

“Namun apa yang saya dapat katakan, ia tudung mampu milik dan harganya kurang daripada RM100. – MalaysiaGazette.