Nik Mohamad Abduh (dua dari kiri) bersama rombongan mendengar taklimat dari pihak Gereja St. Anthony

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pusat mengadakan pertemuan dengan pihak Gereja St. Anthony di Jalan Pudu di sini semalam dalam usaha memperkenalkan budaya politik matang dan sederhana kepada rakan bukan Islam.

Rombongan itu yang diketuai Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz beserta Exco DPPM  dan mereka disambut Archbishop Father Julian Leow dan Father Gregory.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berbincang mengenai kegusaran terhadap tahap keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, pihaknya mengambil peluang perjumpaan itu untuk menerangkan mengenai Gagasan Politik Sejahtera yang dibawa oleh Pas.

“Kita turut memperkenalkan sebuah NGO, Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia (PADU) kepada pihak Gereja St. Anthony.

“NGO PADU ini ditubuhkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional DPPM dan dianggotai oleh semua kaum,” katanya di sini semalam.

Kata Nik Mohamad Abduh, DPPM berpuas hati dengan pertemuan itu kerana diakhiri dengan persetujuan kedua-dua pihak untuk menganjurkan program bersama.

Pihak gereja katanya, juga memberikan komitmen untuk menjayakan program bersama yang akan dianjurkan oleh bahagian belia gereja diketuai Father Gregory.

Pada akhir ziarah itu, Father Julian Leow membawa rombongan DPPM melawat sekitar  Gereja St. Anthony yang menempatkan gereja, sekolah menengah, pejabat, asrama dan rumah paderi. – MalaysiaGazette