Kumpulan Headwind. foto SAFWAN MANSOR, 7 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Konsert The Musical Journey Of Zainal Abidin – 35th Anniversary Concert Featuring Headwind pada 25 Februari ini mendapat sambutan luar biasa apabila tiket VIP berharga RM958 habis dijual.

Zainal berkata, 30 peratus pembeli yang membeli tiket tersebut terdiri daripada peminat di Singapura dan Brunei.

Bekas vokalis Headwind itu berkata, tiket-tiket lain dijangka mula laris semingggu sebelum konsert berlangsung.

“Sebanyak 100 tempat duduk diperuntukan untuk tiket VIP itu. Saya bersyukur kerana tiket paling mahal habis dijual.

“Mungkin 30 tahun lalu, kebanyakan peminat Headwind adalah pelajar dan kini mereka sudah memiliki karier yang baik serta mampu hadir membeli konsert pada harga yang paling mahal.

“Namun saya pun hairan juga kerana ada juga peminat dari kalangan generasi muda yang telah membeli konsert kami,” katanya.

Zainal berkata demikian selepas sidang media konsert The Musical Journey Of Zainal Abidin – 35th Anniversary Concert Featuring Headwind di sini hari ini.

Turut hadir, semua anggota asal kumpulan berkenaan iaitu Zulkifli Kasim, Nicky Oii, Kudin dan Abdul Razak Salleh.

Zainal akan bergabung dengan kumpulan popular era 1980-an itu sempena meraikan ulang tahun ke-35 band itu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Zainal turut memberitahu, dia dan teman-teman band mahu mengajak penonton mengimbau zaman kegemilangan mereka pada konsert istimewa itu.

Jelasnya, dari segi fizikal, dia dan Headwind sudah bersedia tampil di atas pentas yang menjanjikan penataan cahaya dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

“Kami amat mementingkan disiplin dalam menjaga stamina apabila mula melakukan senaman sejak sebulan lalu.

“Peminat kena datang kerana banyak elemen kejutan akan dipersembahkan selain segmen akustik termasuk satu lagu ditujukan kepada Allahyarham Tan Sri SM Salim,” katanya.

Sementara itu, peminat yang ingin menyaksikan persembahan Headwind boleh mendapatkan tiket menerusi laman web www.myticket.asia atau menghubungi talian 03-80766700/03-80766500.

Harga tiket bermula RM158.

Pakej tiket VIP bernilai RM958 pula dilengkapi album edisi terhad Zainal dan baju T. – MalaysiaGazette