KUALA LUMPUR – Pengguna Transit Aliran Massa (MRT) digalakkan memberi maklum balas mengenai perkhidmatan pengangkutan awam itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka boleh memberi reaksi dari segi perkhidmatan, frekuensi tren, bas pengantara dan sebagainya kepada Rapid KL sebagai pengendali perkhidmatan melalui talian 03-78852585 atau emel [email protected].

Najib juga berharap perkhidmatan MRT dan bas-bas pengantara di bawah Fasa 1 Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah memanfaatkan pengguna dan penduduk di sekitar kawasan bandar raya.

“Walaupun Fasa 1 Laluan SBK ini telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya, fokus dan kerja MRT Corp sebenarnya masih belum selesai,” katanya menerusi catatan terkini dalam laman blog rasmi beliau www.najibrazak.com hari ini.

Katanya, kerajaan telah melancarkan 12 stesen bagi Fasa 1 Laluan SBK pada 15 Disember tahun lepas dan masih berbaki sejauh 30 kilometer yang akan melalui 19 stesen lagi untuk dilengkapkan di Laluan SBK di bawah Fasa 2.

Beliau melihat pembinaan Fasa 2 itu mengikut jadual, kira-kira 95 peratus siap dan yakin ia akan dapat beroperasi menjelang Julai tahun ini.

“Bayangkanlah apabila MRT Laluan SBK siap kelak, betapa meluasnya jaringan pengangkutan awam rel dan bas,” katanya. – MalaysiaGazette