Zheng Zhong Jian
PULAU PINANG – Bapa Merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai aktiviti sukan yang digemari, tetapi suka bersiar-siar di kompleks membeli-belah.

Menurut pengawal peribadinya, Zheng Zhong Jian, 84, antara pusat beli-belah yang selalu menjadi ‘tempat lepak’ Tunku selepas bersara ialah Gama Supermarket di Pulau Pinang kerana bekas Perdana Menteri itu suka menikmati pendingin udara percuma di situ.

Zhong Jian boleh dikatakan amat memahami Tunku, beliau malahan menemani Tunku di bilik hospital pada saat bekas Perdana Menteri itu meninggal dunia.

Selain lapan ahli keluarga terdekat Tunku, bekas anggota polis itu juga merupakan satu-satunya orang luar yang berada dalam bilik Tunku pada masa itu.

Zhong Jian yang menjadi pengawal peribadi Tunku selama hampir 30 tahun memberitahu, Bapa Merdeka bukan sekaya yang disangkakan.

Katanya lagi, walaupun begitu, Tunku merupakan seorang yang amanah dan akan menolak sebarang sogokan.

Menurutnya, Tunku mementingkan keharmonian kaum dan mahu menjaga kepentingan semua orang tanpa mengira latar belakang kaumnya.

Mengenang pengalaman bekerja dengan Tunku, Zhong Jian berkata, beliau berpeluang melawat pelbagai tempat menarik termasuk Mekkah dan Istana di England semasa mengiringi Tunku dalam lawatan rasmi.

“Orang lain hanya boleh bergambar di luar istana, tetapi saya pernah memasukinya,” kata bekas pengawal peribadi itu. – MalaysiaGazette