Pelapik kaki yang diisi dengan kertas bertulisan ayat Al-Quran kini telah dilupuskan oleh kerajaan Melaka

MELAKA- Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melupuskan lima tan pelapik kaki yang diisi dengan kertas-kertas yang mempunyai tulisan ayat al-Quran.

Penolong Pengarah Jabatan Penguatkuasaan JAIM, Rahimin Bani berkata, operasi menghapuskan pelapik kaki berkenaan dibuat dengan menanamnya di pusat pelupusan khusus di Sungai Udang.

Kerja-kerja tersebut telah dilakukan pada jam 9 pagi, Khamis lalu.

Katanya, operasi berkenaan telah selesai dalam tempoh dua jam dengan melibatkan 30 kakitangan termasuk wakil daripada Majlis Bandaraya Bersejarah Melaka, SWM Environment Sdn. Bhd., Kementerian Dalam Negarai, Jabatan Mufti Melaka dan Jabatan Penyelidikan JAIM,

“Pelapik kaki tersebut telah dirampas di sebuah gudang yang dimiliki oleh peniaga di Krubong.

Kesemua pelapik kaki tersebut diangkut ke kawasan pelupusan khas menggunakan dua buah lori,” kata Rahimin kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 1 Disember tahun lalu, Bernama melaporkan JAIM telah merampas lebih 500 pelapik kaki daripada seorang pembekal di gudang dekat Krubong selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Gambar-gambar pelapik kaki yang diisi dengan tulisan ayat-ayat al-Quran menjadi tular di laman sosial.

Dengan pelupusan lima tan pelapik kaki berkenaan, Rahimin berkata, kes tersebut telah diselesaikan.-MalaysiaGazette