Letupan bot Marin di Kg.Acheh Perak pagi hari ini.

KUALA LUMPUR –  Sebuah bot marin yang membawa sekumpulan anggota Komando 69 meletup di Jeti Marin Kampung Acheh, Sitiawan, Perak hari ini.

Kejadian difahamkan berlaku sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Seramai lapan anggota komando yang berada di atas bot itu disyaki tercedera.

Kesemua anggota terbabit dikejarkan ke Hospital Sri Manjung dan sedang dirawat di wad kecemasan.

Bagaimanapun, tahap kecederaan anggota dalam kejadian itu belum diketahui lagi.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan di sini telah mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes letupan bot di Kampung Acheh, Manjung itu.

“Siasatan awal mendapati, letupan berlaku semasa anggota polis menghidupkan enjin bot tersebut.

“Letupan berpunca daripada kerosakan enjin bot dan tiada bahan letupan lain yang terlibat dalam kejadian ini.

“Keadaan ini menyebabkan seramai lapan orang anggota polis telah mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Tambah Hasnan, kesemua anggota tercedera sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Sri Manjung.

Ujarnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan kesemua anggota berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Semasa keadian kesemua anggota yang berpengkalan di Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak sedang menjani latihan rutin di Pengkalan Marin, Kampung Acheh, Manjung.

“Polis sedang membuat siasatan tuntas untuk mengetahui punca enjin bot itu meletup,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.