KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran (YDP) bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan-kesalahan tersebut ketika memegang jawatan pegawai daerah dan YDP perbandaran pada September 2009 hingga Ogos 2016.

Suspek berusia 63 tahun yang telah bersara itu ditahan di kediamannya di Seremban kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Turut ditahan adalah tiga kontraktor yang disyaki telah dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan Majlis Perbandaran di mana suspek pernah bertugas.

Sumber memberitahu, pengumpulan maklumat awal oleh pasukan siasatan SPRM mendapati suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor-kontraktor tersebut di luar negara pada bulan September 2015.

Tambahnya, maklumat yang diperolehi menunjukkan pakej percutian suspek yang juga termasuk bermain golf di Medan, Indonesia ditaja oleh kontraktor-kontraktor tersebut.

Difahamkan, sebuah kenderaan Toyota Camry telah dibelikan oleh kontraktor-kontraktor tersebut untuk kegunaannya.

Menurut bukti yang diperolehi, pembelian tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM sedang mengenalpasti beberapa orang lagi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merampas dokumen-dokumen daripada kesemua suspek yang dipercayai berkaitan dengan siasatan SPRM.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette