Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

PETALING JAYA – Raja Muda Selangor berazam mahu mendengar pandangan golongan belia, belajar daripada akar umbi seterusnya menjuarai komuniti di negeri itu.

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin bertitah, ia perlu bagi bergandingan dengan golongan itu dalam mencapai matlamat kemajuan negeri Selangor.

“Selangor mencapai status Negeri Maju pada tahun 2005, sebelum negeri-negeri lain melakukan tetapi persoalan utama ialah, apakah langkah seterusnya untuk kita? Apakah matlamat kita yang akan datang?

“Beta mengimpikan satu hari nanti rakyat Selangor akan mempunyai matlamat yang sama apabila masyarakat bersedia dan ingin berusaha untuk merealisasinya.

“Impian itu tidak boleh diraih  oleh beta seorang namun memerlukan sesuatu yang dimiliki rakyat Selangor yang mampu menyumbang ke arah itu,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis pra pelancaran Selangor Youth (SAY) IGNITE 2017 di Sunway Resort Hotel & Spa di sini hari ini.

Tengku Amir bertitah, dalam mencapai semua matlamat itu, terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang perlu diharungi dan mungkin menjejaskan kemajuan dan keberkesanan usaha semua pihak.

Sebagai contoh, baginda bertitah, salah satu kebimbangan utama adalah pelbagai identiti, sosio ekonomi, latar belakang dan kepentingan yang wujud dalam kalangan belia di Selangor.

“Walaupun timbul keraguan, saya menjangkakan masa depan negeri ini lebih cerah di tangan anak muda yang boleh muncul sebagai pemimpin.

“Pemimpin-pemimpin ini akan datang dari latar belakang yang lebih pelbagai dan membentuk era teknologi yang membolehkan suara semua orang untuk didengari.

“Beta percaya jika usaha ini dilakukan dengan betul, meraikan perbezaan kita, memberi tumpuan positif dan bukannya apa yang kita lakukan sekarang setiap hari yang membawa isu negatif, pengetahuan dan kemahiran semua pasti akan membuat versi yang terbaik buat Selangor,” titah baginda yang turut mencetuskan idea penubuhan SAY.

Sementara itu, SAY IGNITE 2017 adalah satu inisiatif bagi meraikan kepelbagaian dan peranan belia dalam merencana dan membentuk masa depan Selangor.

SAY IGNITE 2017 yang akan diadakan pada bulan April ini dianjurkan bagi menyemai minat serta meningkatkan pembabitan remaja dalam kegiatan berasaskan komuniti seperti seni dan budaya, hiburan, keusahawanan serta sukan dan kesihatan.

Aktiviti dirancang merangkumi peluang yang disediakan di bawah empat bidang tumpuan itu bagi mencungkil bakat di peringkat akar umbi dan menyediakan wadah untuk golongan belia membentangkan idea juga memberikan pandangan dalam pelbagai isu membabitkan generasi mereka.

Antaranya adalah bengkel, ceramah motivasi dan pertandingan mencari bakat.

Bengkel dan ceramah berkenaan akan dikendalikan rakan strategik SAY daripada sektor awam dan swasta sementara pertandingan mencari bakat yang dikenali sebagai SAY Ada Gaya diilhamkan dari program televisyen, Britain Got Talent.

Untuk penyertaan, peserta mestilah berumur antara 18 hingga 35 tahun dan sama ada dilahirkan, menetap atau bekerja di Selangor selain dikehendaki menghantar video.

Seramai 10 peserta terbaik akan membuat persembahan di peringkat separuh akhir dan  tiga yang terbaik akan dipilih untuk mengadakan persembahan pada SAY IGNITE 2017. – MalaysiaGazette