Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (tengah) ketika memberi taklimat kepada peserta sukarelawan di lawatan program Latihan Sukarelawan Sukan Sea 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2017.

BANGI – Para sukarelawan yang bakal berkhidmat semasa Sukan SEA dan Sukan ASEAN pada Ogos nanti perlu membuat menyiapkan diri dengan ilmu berkaitan teknik komunikasi bagi menangani krisis.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, dalam sesuatu temasya sukan yang melibatkan banyak negara, pelbagai masalah akan dihadapi dan ia memerlukan teknik tertentu menanganinya.

“Mereka (sukarelawan) merupakan barisan hadapan Malaysia yang juga tuan rumah dalam temasya sukan itu kali ini.

“Saya mahu mereka bersedia bukan hanya daripada segi keterampilan dan juga imej tetapi cara bagaimana mereka menjadi penyelesai dalam menangani sesuatu masalah.

“Mungkin masalah yang ada tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat dan kita perlu sukarelawan yang boleh bertindak pantas,” katanya selepas menghadiri Program Latihan Sukarelawan Sukan SEA 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya turut mengalukan-alukan penyertaan sukarelawan dalam kalangan golongan dewasa dan tidak bertumpu kepada golongan belia sahaja.

Katanya, golongan dewasa mempunyai pengalaman dalam menangani pelbagai bentuk permasalahan sekaligus mempu menjadi pendorong kepada para sukarelawan muda.

“Kita tidak mahu sukarelawan ini datang hanya dari orang muda kita perlu juga mereka yang ada pengalaman,” ujarnya.

Seramai 13,000 orang sukarelawan dipilih untuk mereka menabur khidmat pada temasya sukan berkenaan yang akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos nanti.

Jumlah yang dipilih itu merupakan sebahagian daripada 54,000 orang yang mendaftar dengan 27,160 permohonan.-MalaysiaGazette