Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lagi suspek wanita dipercayai terlibat dalam kes kematian lelaki dipercayai abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam pada Isnin lalu.

Suspek warga Indonesia berusia 25 tahun itu dikenali sebagai Siti Aishah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan wanita tersebut.

“Polis pada 16 Februari sekitar pukul 2 pagi telah menahan seorang lagi suspek wanita, dipercayai terlibat dalamm kematian lelaki Korea Kim Jong Nam.

“Imej dia dikenalpasti dalam jejak Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lapangan terbang dan berseorangan semasa ditangkap polis,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dokumen perjalanan Indonesia dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Tindakan ke atas suspek akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi Isnin lalu, kepala Jong Nam diserkup dengan kain mengandungi cecair di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menyebabkan beliau meninggal dunia.

Jong Nam dikatakan berada di klia2 untuk terbang ke Macau selepas tiba di Malaysia sejak 6 Februari lalu. – MalaysiaGazette