Ibrahim Saad. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Semua pihak dinasihatkan agar tidak memperkecilkan dua nama besar yang dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Ibrahim Saad berkata, sokongan padu wajar diberikan kepada mereka kerana masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri, sekali gus mampu memantapkan lagi sukan yang diminati ramai itu.

“Dalam bola sepak ini kita perlukan orang yang ada pengalaman untuk menguruskan dan sudah tentu mereka yang dicalonkan ini ada langkah dan idea tertentu untuk memajukan lagi sukan ini.

“Semua pihak harus menerima dan menghormati. Kita lihat nanti siapa yang akan dipilih untuk menerajui FAM dan kita kena menerimanya, kita ikut sistem yang ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, beliau percaya siapa pun yang menang dalam pencalonan itu pasti akan membawa misi dan visi baharu dalam arena bola sepak negara.

Sementara itu, mengulas mengenai adanya kewajaran agar jawatan setiausaha agung dan bendahari FAM perlu ditukar dengan orang baru Ibrahim berkata, langkah itu harus dikaji oleh penasihat undang-undang FAM.

“Mereka tidak boleh buat pertukaran sesuka hati, sebaliknya mereka kena melihat dari segenap sudut yang perlu,” ujarnya.

Pertembungan satu lawan satu akan dapat disaksikan bagi perebutan jawatan Presiden FAM yang mencalonkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Dua calon lagi iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat dilapor menarik diri. – MalaysiaGazette