Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan pernah mengeluarkan kenyataan jumlah besar penjawat awam telah menyebabkan hasil kerajaan jatuh.

Menteri Kewangan Kedua itu juga menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan statistik perbandingan dengan negara-negara lain mengenai jumlah penjawat awam negara.

Sebaliknya, apa yang dinyatakan kepada sebuah akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily hanyalah jumlah kakitangan kerajaan serta jumlah emolumen tahun 2016 yang dibayar oleh kerajaan.

“Kenyataan fakta saya dimanipulasi oleh pihak pembangkang,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Dalam laporan akhbar itu, Johari dilaporkan berkata, perkhidmatan awam adalah tertinggi dalam saiz penjawat awam di negara ini.

Menteri Kewangan itu dilaporkan sebagai berkata, satu penjawat awam di negara ini mewakili 19.37 populasi.

Bagaimanapun, Borneo Post yang memetik laporan Oriental Daily berkata, nisbah itu berbeza dengan Singapura 1:71.4, Indonesia 1:110, Korea 1:150. China 1:108, Jepun 1:28, Rusia 1:84 dan United Kingdom 1.118.

Borneo Post juga turut memetik Johari bahawa jumlah saiz penjawat awam yang besar sebanyak 1.6 juta menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat setiap tahun.

Isu saiz penjawat awam semakin hangat apabila bekas Ketua Pengarah Perancangan Ekonomi, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim menyarankan kerajaan mengurangkan saiz penjawat awam sebelum terlewat kerana dikhuatiri Malaysia akan menjadi seperti Greece yang mempunyai perbelajaan tinggi untuk kakitangan kerajaan.

Cadangan itu bagaimanapun dibantah oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Sebaliknya bercakap kepada MalaysiaGazette, Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, jumlah kakitangan dalam perkhidmatan awam hanyalah 500,000 tetapi baki 1.1 juta adalah dalam kalangan kakitangan pertahanan, sektor pendidikan dan kesihatan.

Katanya, di negara lain sektor-sektor itu bukan di bawah kerajaan sebaliknya diswastakan, lantaran itu beliau mempersoalkan adakah rakyat Malaysia sudah bersedia jika sektor pendidikan dan kesihatan diswastakan. – MalaysiaGazette