Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesan perkara itu setelah kereta tersebut ditahan di Jalan Melaka Raya 13, Taman Melaka Raya.
MELAKA – Sebuah kereta Toyota Corolla dikesan memiliki 440 kompaun berjumlah RM22,480 sejak tahun 2012.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesan perkara itu setelah kereta tersebut ditahan di Jalan Melaka Raya 13, Taman Melaka Raya semalam.

Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Insfrastruktur MBMB, Md Derus Tompang berkata kereta berwarna hitam itu adalah milik seorang individu berusia 67 tahun yang dipercayai turut digunakan anggota keluarganya.

“MBMB telah mengunci tayar kereta tersebut yang diletakkan di dalam kotak parkir tanpa kupon kereta di kawasan Melaka Raya. Kereta berkenaan dikunci pada 12.05 tengah hari dan sehingga 6 petang, ia masih belum dituntut menyebabkan kami terpaksa menundanya ke pejabat MBMB,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata 54 daripada kompaun itu telah didaftarkan untuk kes mahkamah manakala selebihnya dalam proses dikenakan tindakan lanjut.

Md Derus berkata pemilik kereta itu perlu menjelaskan jumlah keseluruhan kompaun berkenaan serta membayar kos mengunci tayar dan menunda sebelum ia dapat diserahkan semula kepada pemilik berkenaan.

— BERNAMA