KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membatalkan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal yang (CMSRL) tiga individu iaitu Yew Hock Ming, Ling Chen Yew dan Tiong Siew Ngaik (Tiong) berkuatkuasa mulai 18 Jan, 2017.

Dalam satu kenyataan di sini SC berkata, CMSRL mereka telah dibatalkan di bawah seksyen 72 yang dibaca bersama seksyen 65 Akta Perkhidmatan dan Pasaran Modal 2007 (CMSA), apabila mereka didapati telah terlibat dalam amalan perniagaan yang tidak wajar.

Yew, Ling dan Tiong masing-masing adalah dari RHB Investment Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd dan Kenanga Investment Bank Bhd.

“CMSRL telah dibatalkan kerana mereka didapati telah terlibat dalam amalan perniagaan yang tidak wajar.

“Oleh itu, SC mendapati individu-individu ini tidak lagi layak dan sesuai untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia dalam pasaran modal Malaysia, “kata SC dalam satu kenyataan.

SC juga telah membatalkan CMSRL Theng Boon Cheng di bawah seksyen 72 yang dibaca bersama seksyen 65 CMSA.

Theng sebelum ini bersama AmInvestment Bank Bhd.

“CMSRL Theng telah dibatalkan selepas SC mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa beliau tidak menjalankan aktiviti dalam sekuriti dengan cekap, jujur atau saksama. Oleh itu, SC mendapati Theng tidak lagi layak dan sesuai untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia dalam pasaran modal Malaysia,” tambah SC. – MalaysiaGazette