KUALA LUMPUR – Impian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menziarahi lokasi bersejarah, Masjid Al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam akhirnya tercapai.

Siti yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa dan keluarga mentua tiba di Palestin semalam.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagram miliknya, Siti dilihat teruja dan  sentiasa memaparkan pengalamannya yang bermula dari Amman, Jordan sebelum ke Jerusalem.

“Alhamdulillah selamat sampai di Amman, Jordan. Menuju ke Jerusalem.

“Alhamdulillah kami sudah selamat berada di bumi Palestin,” coretnya.

Siti dan keluarga akan sembahyang Isyak di Masjid Al-Aqsa dan solat Jumaat di sana.

Wanita berusia 38 tahun itu sebelum ini berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat menziarahi masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, kunjungan penyanyi lagu Mikraj Cinta itu bukan untuk mengikuti misi kemanusiaan sebaliknya bercuti dan menziarah.

Siti dijangka pulang ke tanah air pada 23 Februari ini. – MalaysiaGazette