KUALA LUMPUR – Penyanyi Stacy selamat melahirkan anak perempuan kira-kira pukul 5.17 petang semalam.

Bayi seberat 2.97 kilogram itu dilahirkan di Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini.

Berita itu diumumkan oleh suami Stacy yang juga penyanyi, Akim Ahmad menerusi laman sosial Instagram.

Menurut Akim atau nama sebenarnya Afiq Akim Ahmad, 26, isteri dan bayi mereka kini berada dalam keadaan baik.

“Di petang Jumaat penghulu segala hari, isteri saya telah selamat melahirkan putri kami. Syukur semuanya baik-baik sahaja, terima kasih di atas doa anda semua,” katanya.

Akim dan Stacy berkahwin di sebuah majlis yang diadakan di Hotel Shangri-La, Kota Kinabalu Sabah pada 5 Februari tahun lalu.

Pasangan ini mempunyai seorang anak angkat bernama Bell Deluna Valentina yang kini berusia lima tahun. – MalaysiaGazette