Calon BN PRK DUN Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu.

LUNDU – Balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Datu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan kemenangan bergaya.

Jamilah yang diangkat menjadi calon BN selepas pemergian Adenan memperoleh 6,573 undi dengan kelebihan majoriti 6,443 undi.

Kemenangan Jamilah diisytiharkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Hamsien Atar tepat jam 7.57 malam tadi.

Beliau dilaporkan memperoleh jumlah majoriti lebih besar berbanding majoriti 5,892 yang pernah diperoleh arwah suaminya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu.

Dalam pada itu calon pembangkang, Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB) hanya memperolehi 130 undi dan Johnny Aput dari Parti Reformasi Negeri (STAR) jauh di belakang dengan hanya 108.

Kedua-dua mereka hilang deposit. – MalaysiaGazette