Penasihat Diraja DBI, YM Raja Izzuwin Shah YAM Raja Izzudin Iskandar Shah di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAREY SALIM, 17 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – DBI Technology Sdn. Bhd. (DBI) kini sudah tiada lagi kaitan dengan dengan pemaju perumahan, Juta Kelulut Global Sdn. Bhd. (Juta Kelulut) yang sebelum ini menawarkan projek perumahan mampu milik dikenali Mini Banglo yang berharga RM60,000.

Penasihat Diraja DBI, Raja Izzuwin Raja Izzuddin Islandar Shah menegaskan, kedua-dua syarikat telah mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama dan membawa haluan masing-masing.

“Kedua-dua syarikat sudah berpecah dan kini tiada lagi apa-apa kaitan. Jadi DBI Properties yang sebelum ini ketika bekerjasama  sudah tidak didaftar lagi.

“Masing-masing bual hal sendiri. Jadi sekarang kami menubuhkan DBI Technology Sdn. Bhd. dalam usaha menjenamakan semula nama DBI dan kembali menarik keyakinan orang dalam membina rumah mampu milik di negara ini.

“Fokus utama kami kini tetap komited membantu rakyat Malaysia yang ingin memiliki tanah dan membina di atas tanah sendiri pada harga RM50,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Mei tahun lalu, DBI Properties menjadi syarikat ejen pemasaran kepada Juta Kelulut ketika melancarkan promosi Mini Banglo berharga RM60,000 pada Mei tahun lalu.

Promosi itu menjadi fenomena hingga mencatatkan jualan yang memberangsangkan dalam tempoh dua bulan.

Ditanya punca tercetus masalah itu, Raja Izzuwin enggan mendedahkan sebaliknya hanya memberitahu ia berpunca daripada masalah dalam kedua-pihak.

Mengulas nasib pelanggan yang telah membuat pembayaran penuh atau pun wang pendahuluan, kerabat Perak itu berkata, mereka boleh berurusan dengan pihak Juta Kelulut.

“Saya pada mulanya dilnatik Penasihat Diraja untuk DBI Properties yang bekerjasama dengan Juta Kelulut. Mungkin adalah masalah antara pihak pengurusan tertinggi kedua-dua pihak ini.

“Tugas saya hanya membawa pelanggan dan apa yang terjadi adalah masalah dalaman dan sebarang kenyataan nanti boleh tersalah tafsiran.

“Ada pelanggan yang telefon saya tanya tentang pulangan semula, mereka kena melalui Juta Kelulut kerana wang Mini Banglo itu telah diterima pihak mereka.

“Saya juga difahamkan DBI juga mempunyai bukti transaksi bank yang menunjukkan semua hasil jualan telah dimasukkan ke dalam akaun Juta Kelulut,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.