Reaksi spontan Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika bergambar bersama penerima-penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 di Dewan Maeps, Serdang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2017.

SERDANG – Kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diingatkan agar mengutamakan integriti bagi mengelakkan sebarang kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai penjawat awam, mereka tidak seharusnya mengambil mudah tentang aspek integriti dalam mengejar kecemerlangan dan kemajuan.

Jelas beliau, ini kerana kesan buruk bukan sahaja akan diterima oleh kakitangan itu malah akan turut memberi kesan kepada kemajuan negara malah kepada generasi yang akan datang.

“Tidak kira di mana kita ditempatkan, laksanakanlah tugas kita dengan penuh integriti, berhemah, berdedikasi, ikhlas dan juga amanah.

“Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada setiap penjawat awam hendaklah ditunjukkan dengan pelaksanaan dari segi keberkesanan dan integriti yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 di MAEPS di Serdang di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) beramah mesra bersama penerima-penerima Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 di Dewan Maeps, Serdang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2017
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) beramah mesra bersama penerima-penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 di Dewan Maeps, Serdang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2017

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kepesatan teknologi komunikasi pada hari ini merupakan cabaran terbesar kerajaan dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Justeru jelas beliau, proses itu memerlukan komitmen dan kerjasama yang tinggi daripada semua peringkat, tahap penguasaan ilmu yang meluas dan bersikap terbuka memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah, pelbagai dan sentiasa berubah.

“Saya menyeru semua warga KKLW untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam menentukan kaedah dan strategi yang inovatif serta berkesan digunakan demi menghasilkan manfaat dan outcome yang tinggi, cepat dan sustainable untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat di luar bandar.

“Program-program dan projek hendaklah dilaksanakan dengan kos yang berpatutan untuk menghasilkan outcome yang tinggi.

“ROI atau Return of Investment dalam perkhidmatan awam juga hendaklah digunakan untuk mengukur, menilai dan menentukan setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menyampaikan perkhidmatan awam dapat menghasilkan manfaat untuk dinikmati rakyat,” katanya.

Ismail Sabri juga menekankan peranan penjawat awam merupakan agen transformasi kepada masyarakat luar bandar dan juga bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.

“Besar harapan saya agar seluruh warga KKLW untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan yang berkualiti dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

“Selain itu, diharapkan agar segala usaha warga KKLW ke arah menjayakan Transformasi Membandarkan Luar Bandar dapat direalisasikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette