Pemilik Syarikat Perniagaan Kitabena, Abdul Rafik Yusof (kiri) bersama Pengarah KV Temerloh, Zalina Harisun pada majlis MoU sambil disaksikan Timbalan Pengarah Kejurulatihan Bahagian Teknik dan Vokasional, Mohamad Samad di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

TEMERLOH – Pelajar Kolej Vokasional (KV) yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bermakna masa depan mereka sudah gelap.

Itu nasihat pemilik Syarikat Perniagaan Kitabena, Abdul Rafik Yusof yang ada pengalaman sendiri berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan bermula ilmu yang dituntut di sekolah vokasional.

“Kemahiran yang saya miliki sekarang bermula dari Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Temerloh (sekarang Kolej Vokasional Temerloh).

“Saya menerima tawaran kursus Kimpalan dan Fabrikasi Logam pada tahun 1981 tanpa pendedahan awal dan dengan Sijil Rendah Pelajaran yang gagal.

“Setelah tamat belajar di SMV Temerloh, saya bekerja dalam industri yang sama di Seremban dan Kuala Lumpur kemudian, saya membuka perniagaan sendiri bermula tahun 1985 hingga sekarang,” katanya yang juga ahli alumni KV Temerloh.

Abdul Rafik berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara KV Temerloh dengan tiga pihak industri termasuk syarikatnya di sini baru-baru ini.

Dua lagi syarikat yang terlibat dalam MoU itu ialah Al Autoworkshop dan Iswaja Enterprise.

Kolej Vokasional Temerloh juga mengadakan MoU dengan Al Auto Workshop.
Kolej Vokasional Temerloh juga mengadakan MoU dengan Al Auto Workshop.

MoU itu turut disaksikan Timbalan Pengarah Kejurulatihan Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV), Mohamad Samad dan Pengarah KV Temerloh, Zalina Harisun.

Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh, Wan Abdul Hamid Wan Mohammad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru KV Temerloh, Datuk Mohd. Musa Noor Mohd.

Kolej Vokasional Temerloh juga mengadakan MoU dengan Iswaja Enterprise.
Kolej Vokasional Temerloh juga mengadakan MoU dengan Iswaja Enterprise.

Menurut Abdul Rafik, kemahiran vokasional bukan bermakna para pelajarnya tidak boleh maju merebut peluang yang ada kerana pokok pangkalnya seseorang itu perlu berani berubah dan menguasai ilmu.

Sebagai rekod, Syarikat Perniagaan Kitabena antara pihak yang mendapat kepercayaan menyenggara penghawa dingin Kolej Vokasional ERT Puteri Temerloh dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang Temerloh selepas banjir besar pada tahun 2014.

Selain itu, syarikatnya juga diberi kepercayaan menyenggara penghawa dingin di Mc Donald Temerloh.

Kini, menurut Abdul Rafik, beliau sendiri menghantar dua anaknya belajar di KV Temerloh dalam bidang kimpalan.

Sementara itu, Mohamad pula memberitahu, KV perlu menjalinkan kerjasama dengan pihak industri sebagai satu persetujuaan awal dalam menyediakan sumber pembelajaran secara hands on serta menghubungkan pembelajaran kolej dengan kemahiran dunia pekerjaan sebenar.

Beliau berkata, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan kerjasama itu supaya ia boleh dilaksanakan dalam bentuk dan tahap yang jauh lebih bermakna.

“Pihak KV perlu menjalin hubungan yang baik dengan pihak industri agar pelajar kolej vokasional dapat menimba pengalaman semasa On Job Training sekaligus pelajar keluaran kolej vokasional dapat menepati kehendak pasaran pekerjaan.

“Pihak industri adalah penggerak kepada aktiviti ekonomi negara, manakala pihak kolej vokasional pula menjadi tempat bagi pengeluaran sumber tenaga kerja yang berkemahiran kepada industri,” katanya.

Menurut Mohamad, pihak KV juga boleh menjemput pihak industri memberi ceramah berkaitan keusahawan kepada pelajar supaya pelajar mendapat inspirasi untuk menjadi seorang usahawan.

Bagi Zalina, MoU berkenaan akan membolehkan pelajar KV Temerloh menjalani latihan industri dalam bidang teknologi kimpalan dan teknologi automotif.

“Kerjasama dan persefahaman dengan pihak industri lain akan ditambah dari masa ke masa memandangkan KV Temerloh menawarkan lapan program vokasional,” katanya.

Dalam majlis yang sama, seramai 34 orang pelajar semester dua diploma dianugerahkan sijil SVM Kohort 2014 yang setara dengan 3 kredit SPM.

Kelayakan berkenaan membolehkan pelajar tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke Diploma Vokasional Malaysia di Kolej Vokasional serta boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga ke tahap tertinggi iaitu pada Tahap 4.

Selain itu, pelajar yang layak mempunyai peluang menyambung pelajaran ke peringkat tertiari awam dan swasta menggunakan SVM yang telah disetarakan.

Pelajar juga boleh memilih untuk meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi melalui institusi tinggi latihan kemahiran, katanya.

Pada majlis yang sama, perasmian produk School Enterprise turut dilakukan dan ia memberi pendedahan awal kepada pelajar KV Temerloh terhadap persekitaran kerja sebenar selepas tamat pengajian.-MalaysiaGazette