Petugas-petugas media tempatan dan antarabangsa masih menunggu di Institut Perubatan Forensik Negara bagi perkembangan terkini , Kim Jong-Nam yang dibunuh di Malaysia. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengambil serius segala tuduhan yang dilemparkan oleh Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, berhubung kematian Kim Jong-nam.

Malaysia menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan untuk mencemarkan reputasi negara.

Sehubungan itu, Duta Besar Malaysia di Pyongyang telah dipanggil balik ke Kuala Lumpur untuk proses perundingan.

Putrajaya menegaskan kematian abang kepada pemimpin Korea Utara itu berlaku di negara ini dalam keadaan mencurigakan, oleh yang demikian menjadi tanggungjawab Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

Penjelasan Malaysia itu dibuat kepada Kang Chol yang dipanggil oleh Kementerian Luar Negeri pagi ini untuk bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

“Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan tentang perkembangan yang berkaitan dengan penyiasatan tersebut dan juga proses yang terlibat di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 17 Februari lalu, Kang Chol dalam kenyataannya menggambarkan Kerajaan Malaysia mempunyai sesuatu yang disembunyikan dan mendakwa Malaysia berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa lur dalam mengendalikan kematan warga Korea Utara itu.

Jong-nam mati ketika diberi rawatan di klia2 pada pagi 13 Februari lalu ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Pada awal siasatan, polis mengesahkan lelaki yang di kepalanya diserkup secara tiba-tiba dengan kain sebagai Kim Chol.

Identitinya disahkan sebagai Kim Jong-nam selepas mayatnya dibedah siasat di Hospital Kuala Lumpur lima hari lalu.

Susulan daripada kematian Kim Jong-nam, polis menahan dua saspek wanita  masing-masing dari Vietnam, dan Indonesia dan dua lelaki dari Malaysia dan Korea Utara.

Setakat ini, polis sedang tujuh lagi lelaki Korea Utara tetapi empat daripadanya didakwa telah kembali ke Pyongyang. – MalaysiaGazette