KUALA LUMPUR – Amira Othman bukan nama besar dalam industri nyanyian tanah air namun kehadirannya dengan single Hati Hati memberi impak yang besar apabila lagu tersebut menjadi siulan anak muda.

Nampaknya, rezeki dan bakat bekas finalis Akademi Fantasia 2013 ini diberikan ruang lebih besar apabila dia akan muncul bersama lagenda Pop Yeh Yeh di Panggung Sari Istana Budaya dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh pada 3 hingga 5 Mac ini.

“Apabila ditawarkan oleh penerbit konsert tersebut, saya terus menyatakan persetujuan kerana inilah masanya saya dapat menimba pengalaman beraksi di pentas Istana Budaya yang selama ini menjadi idaman saya.

“Saya juga amat meminati lagu-lagu lama terutamanya pop yeh yeh kerana ia memberikan inspirasi serta semangat untuk terus berada di dalam industri ini,” katanya yang akan cuba menari berama Artis Tari Istana Budaya.

Bertambah menarik di dalam konsert anjuran bersama Istana Budaya, Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production itu, Amira akan berduet/ battle dengan Datuk A. Rahman Hassan melalui lagu Bahagia Hendaknya.

“Ini adalah satu penghormatan besar kepada saya kerana Datuk A.Rahman berasal dari negeri yang sama dengan saya iaitu Johor.

“Pengalaman tersebut akan menjadi antara sejarah penting dalam karier saya sebagai penyanypi apatah lagu yang akan didendangkan itu adalah milik isteri beliau yang telah kembali ke ramatullah,” katanya yang tidak sabar bekerja dengan Pengarah Muzik, Shamsul Zin.

Di dalam konsert berdurasi dua jam itu, Amira, 23, turut akan mendendangkan lagu I Follow Him yang dipopularkan oleh Peggy Marc di samping lagu allahyarham Azizah Mohamad,  Syurga Idaman serta Suzanna.

Dia menggantungkan harapan yang tinggi supaya penampilan khasnya dan Aiman Tino di dalam konsert tersebut mendapat sambutan terutamanya di kalangan generasi muda agar lebih mengenali irama tersebut.

“Kehadiran saya di dalam konsert tersbut bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi mewakili generasi muda supaya lebih mengenali dan menghargai warisan bangsa kita sendiri.

“Semoga apa yang dilakukan ini dapat mengembalikan semula kegemilangan dan kenangan indah zaman ibu bapa atau nenek dan datuk kita,” tambahnya yang memang sudah lama bercita-cita menyanyi di Istana Budaya.

Konsert yang terbahagi kepada segmen solo, tribute dan battle itu turut menampilkan  penyanyi terkenal era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramli, Datuk Jefrydeen, J. Sham, Maria Bachok selain A. Rozainie dan Aiman Tino.

Konsert yang diarahkan oleh Mohd Ferdaus Hassan akan diiringi oleh kumpulan muzik Agogo Istamuzika daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya.

Tiket dijual dengan harga RM56, RM86, RM116, RM156 dan RM186. Untuk tempahan tiket boleh layari laman web www.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction atau hubungi 03-40265558/03-61866592/017-2004249/012-2977220. – MalaysiaGazette