Home Ekonomi BR1M: Kerajaan hanya mampu agih RM1,200

BR1M: Kerajaan hanya mampu agih RM1,200

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menaikkan lagi bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diumumkan sebanyak RM1, 200 pada tahun ini meskipun harga pasaran minyak dunia terus melonjak.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah yang diberikan itu berdasarkan harga minyak dunia pada tahun 2013 dan 2014 yang melebihi AS$100 setong.

Pada masa ini katanya, harga bahan bakar itu berada pada sekitar AS$55 setong dan jurangnya masih besar berbanding semasa lonjakan pada tahun 2013 dan 2014.

“Setakat ini, kerajaan hanya mampu hanya membayar RM1,200 sahaja.

“BR1M ini dibuat untuk membantu golongan B40 selepas kerajaan menghapuskan subsidi bagi mengurangkan perbelanjaan dalam menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi global, ” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Aplikasi Mobile Semakan BR1M di Dewan Hasil di sini.

Dalam perkembangan sama, Johari berkata, sejak BR1M dikreditkan dalam akaun penerima, tidak ada lagi permohonan invdividu yang sudah diluluskan tetapi tidak menerima bantuan tersebut.

“Dulu mungkin ada sebab penerima diberi baucar. Sekarang baucar diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank sahaja, ” ujarnya.

Tambah Johari lagi, peningkatan jumlah permohonan BR1M pada tahun ini adalah dalam kategori orang bujang yang baharu bekerja.

“Gaji mereka ini dalam lingkungan RM2,500, RM2,000 jadi mereka dapat BR1M sebab kerajaan tetapkan penerima bantuan ini di bawah gaji RM3,000,” katanya. – MalaysiaGazette