Johari Abdul Ghani. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pencarian rakan strategik untuk Proton Holdings Berhad (Proton) bukan bermakna kerajaan mahu menjual syarikat automotif itu.

Sebaliknya ia demi kelangsungan hidup bagi 100,000 orang yang berada dalam rantaian perniagaan Proton dan 10,000 kakitangannya.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, keputusan menjual kepentingan Proton kepada syarikat asing tidak perlu dijadikan isu.

“Rakyat perlu faham Proton bukan lagi milik kerajaan tetapi milik sebuah syarikat yang disenarai awam.

“Tetapi Proton mendapat perhatian kerajaan kerana syarikat ini ada 10,000 orang kakitangan. Manakala pekerja-pekerja dalam syarikat vendor, wakil penjual dan rangkaiannya berjumlah 100,000 secara tidak langsung.

“Jadi kerajaan kena melihat kepada ekosistemnya. Ia melibatkan pekerja, peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Dewan Hasil di sini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, isu-isu ini jika tidak diuruskan secara betul dan baik maka akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan dan ini tidak boleh berlaku dalam situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Menurut Johari, Proton telah berusia 32 tahun tetapi hanya mampu menjual 100,000 buah kenderaan dalam negara sahaja.

Perkembangan ini tidak cukup untuk menjamin kestabilan Proton dalam jangka panjang.

“Khazanah Nasional Berhad pernah menguruskan Proton tetapi juga tidak mampu.

“DRB-Hicom yang mempunyai kerjasama dan berpengalaman dengan Mitsubishi, Honda dan Suzuki juga tidak masih tidak mampu membangunkan Proton.

“Oleh itu, Proton dan DRB-Hicom perlu mencari rakan strategik bagi menambah baik dalam bentuk pasaran dan teknologi serta reka bentuk.

“Macam mana Proton hendak eksport ke United Kingdom kerana kita menggunakan enjin Euro 4 tetapi di sana sudah pakai Euro 6.

“Rakyat perlu melihat gambaran lebih besar, bukan sekadar tentang penjualan pegangan kepentingan semata-mata,” ujarnya.

Syarikat China Geely yang memiliki kepentingan dalam Volvo Car Group berminat untuk memiliki 51 peratus kepentingan dalam Proton.

Selain Geely, Peugeot PSA, Suzuki dan Renault juga dijangka berminat membida Proton.⁠⁠⁠⁠ – MalaysiaGazette