Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan arwah mursyidul am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diperalat oleh parti pembangkang itu demi kepentingan politik mereka.

Zulkifli berkata, ketiadaan dua pemimpin tersebut menyebabkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sanggup menggadaikan prinsip perjuangan parti demi semata-mata mahu mendapat sokongan masyarakat Melayu untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mula-mula mereka gunakan Anwar supaya dia dapat pujuk Pas tubuhkan Pakatan Rakyat, jadi Anwar pun lari dari bilik mendiang Karpal Singh, Kit Siang ke bilik arwah Nik Aziz dan Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kemudiaan dapat tubuh Pakatan.

“Jadi dia gunakan semua. Dia gunakan Anwar, dia gunakan Nik Aziz dan dia cuba gunakan Hadi tapi lepas itu apabila Pas sedar dah kena patuk dua kali dalam lubang sama dengan DAP, mereka pergi tangkap Dr Mahathir dan Muhyiddin. DAP hanya nak peralatkan, ini cara mereka nak ambil alih kuasa,” kata Zulkifli kepada MalaysiaGazette.

Zulkifli Mohd Noor
Zulkifli Mohd Noor

Zulkifli juga mendakwa, Dr Mahathir tidak mengetahui cerita sebenar di dalam parti DAP yang penuh dengan sifat rasis dan mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri itu tidak masuk DAP jika benar parti itu dikatakan berbilang kaum.

“Kamu sebagai bekas perdana menteri, takkan kamu tak tahu perjuangan DAP, satu ketika kamu kata DAP ini rasis dan sebagainya. Tapi Dr Mahathir baharu sekali hadir dalam mesyuarat DAP sudah mengatakan ia parti berbilang kaum.

“Kalau betul Dr Mahathir kata DAP parti berbilang kaum kenapa kamu tak masuk DAP macam Datuk Zaid Ibrahim masuk, kenapa tubuhkan satu parti baharu yang hanya memecah belah orang Melayu,” katanya.

Selain itu, Zulkifli yang presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) mendakwa kemasukan orang Melayu dalam parti sekadar ‘wallpaper’ yang mulut mereka ditutup daripada bersuara.

“Mereka bubuh orang Melayu dalam DAP ini, kamu hanya boleh tengok dan boleh dengar tetapi kamu tak boleh bercakap. Ia sekadar simbolik, ‘wallpaper’ nak bagi cantik sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, situasi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 bakal berubah sekiranya Pas tidak menyertai blok pembangkang, Pakatan Harapan dan kemungkinan DAP akan hilang lebih banyak kerusi.

“Tapi saya yakin, PRU14 sekiranya Pas tak masuk kerjasama dengan Pakatan Harapan, maka DAP, PKR, PAN, PPBM akan terkulai layu,” katanya. – MalaysiaGazette