Husam Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Husam Muda bersedia bila-bila masa sahaja berdebat dengan Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu mengingatkan pencabarnya itu tidak lagi berdolak dalik sebaliknya bersikap seperti anak jantan.

“Jangan jadi macam malam tadi, mereka adakan program dengan tajuk “Husam Lari Debat Baiah” apabila saya hadir dan minta untuk berucap, mereka tidak benarkan.

“Adakah saya yang takut atau pencabar saya iaitu Nasaruddin yang takut?

“Kalau saya takut, saya tidak akan berada di atas pentas malam tadi,” katanya kepada para penyokong beliau di Taman Indera tengah malam tadi

Malam tadi, ceramah anjuran Nasaruddin bertajuk “Husam Lari Dari Debat Baiah” kecoh apabila Husam hadir secara tiba-tiba pada majlis yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu.

Husam tiba kira-kira jam 11 malam, kemudiannya menaiki pentas setelah dijemput oleh seorang veteran Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh yang ketika itu sedang berucap.

Husam yang juga Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan berkata, kehadirannya kerana mendapat jemputan dari Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd. Alawi dan pihak penganjur, Nazman Ibrahim.

“Majlis ini cuba mengaitkan nama saya sebagaimana tajuknya yang dipasang di atas pentas dan ditularkan dalam media sosial seperti Facebook kononnya untuk menggambarkan saya tidak bersedia berdebat dengan Nasuruddin.

“Oleh kerana ada jemputan daripada Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan supaya hadir, lalu saya ingat adalah satu jemputan yang ikhlas, yang gentleman. Saya hadir sebelum jam 11 malam. Saya hendak duduk di bawah pentas sahaja nak dengar apa yang disampaikan oleh penceramah.

“Tetapi Wan Ismail jemput saya naik ke pentas. Saya naiklah ke pentas kerana tuan rumah jemput. Penganjur pun jemput saya datang melalui Facebook yang disebarkan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Husam, apabila berada di atas dan namanya disebut-sebut oleh penceramah, maka beliau meminta diberi peluang untuk berucap dalam 10 atau 20 minit tetapi pihak penganjur memaklumkan Nasaruddin tidak mengizinkan.

Katanya, apabila tuan rumah tidak berinya berucap, beliau berdiam diri dan menghormati majlis berkenaan.

“Apabila tuan rumah tak beri saya berucap, apa boleh buat. Saya kena diam sajalah. Saya tak nak ganggu majlis.

“Tapi Pas dan kerajaan Kelantan telah menyalahgunakan nama saya yang boleh dianggap sebagai satu penghinaan dengan mengatakan saya lari dari debat. Ini tak betul. Saya masih bersedia berdebat dengan Nasaruddin bila bila masa.

“Bagaimanapun, malam tadi saya boleh lihat Pas tidak gentleman dan jauh tidak bertamadun kerana tidak bersedia memberi ruang kepada orang lain untuk berucap.

“Ketika saya berada di atas pentas itu, penceramah hentam saya. Saya boleh duduk diam dan dengar ucapan mereka, tetapi mereka tak berani beri masa kepada saya untuk berucap,” ujar beliau.

Husam menjelaskan, selain kehadirannya atas jemputan, beliau turut menjangkakan diberi peluang berucap dan jika berlaku, malam itu akan menjadi mini debat.

Mengenai yang dibangkit penceramah malam itu berhubung Mufti Perlis, Husam berkata, itulah kelemahan pemimpin Pas hari ini.

“Mereka langsung tidak mahu membuat semakan satu-satu perkara dengan teliti. Sebenarnya, yang dihantar kepada saya ialah fatwa yang dikeluarkan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, bukan fatwa daripada Mufti Negeri Perlis.

“Antara ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis ini termasuk Ahli Dewan Ulamak Pas Kelantan iaitu Dr. Johari Mat,” katanya.

Fatwa itu adalah berkaitan dengan hukum baiah yang dilafaz pemimpin Pas untuk taat setia kepada parti dan jika keluar, boleh gugur atau jatuh talak tiga ke atas isteri masing-masing. – MalaysiaGazette