Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR- Malaysia mahu Korea Utara menyerahkan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan pembunuhan Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, identiti dua daripada tujuh individu tersebut telah pun dikenal pasti.

Salah seorang daripadanya adalah setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia manakala seorang lagi merupakan seorang pekerja di syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo.

Tambah Khalid, Bukit Aman telah membuat permintaan tersebut kepada kedutaan hari ini supaya kedua-duanya diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.

“Jika mereka enggan bekerjasama, kami akan mengeluarkan waran tangkap kepada kedua-dua individu terbabit,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Mengenai empat lagi suspek yang dipercayai telah pulang ke Pyongyang, Khalid berkata, pihak polis telah meminta Kerajaan Korea Utara untuk membantu mendapatkan mereka.

“Kami percaya keempat-empat suspek ini memang terlibat di dalam serangan tersebut,” katanya sambil berharap Kerajaan Korea Utara akan memberi kerjasama.

Setakat ini empat suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara itu.- MalaysiaGazette