Seorang lelaki dipercayai suspek warga Korea Utara (kanan) dibawa oleh anggota polis selepas selesai disoal siasat oleh pegawai siasatan kira-kira empat jam yang bermula dari 12.05petang, berikutan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara di klia2, di Ibu Pejabat Daerah Polis Sepang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR- Kedutaan Korea Utara di Malaysia mendesak ketiga-tiga suspek pembunuhan Kim Jong-nam dibebaskan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Korea Utara mendakwa dua suspek wanita dari Vietnam dan Indonesia serta seorang lagi suspek lelaki warga Korea Utara, Ri Jong Chol perlu dibebaskan kerana tidak bersalah dan ditahan tanpa sebab.

Selepas 10 hari kejadian pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, duta besarnya ke Malaysia, Kang Chol sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan lantang mengkritik cara polis mengendalikan kes ini.

Beliau mendakwa, siasatan yang dijalankan lebih menjurus untuk menunding jari kepada Korea Utara dan ini berlaku kerana kononnya Malaysia menyebelahi Korea Selatan yang terlebih dahulu menuduh jirannya itu melakukan pembunuhan tersebut.

“Malaysia menolak kerjasama dengan kerajaan asing dan mendakwa siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

“Jadi, siasatan sepatutnya memfokus kepada mendapatkan sebab kematian dan mencari suspek berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh dua suspek wanita serta bukti-bukti jenayah.

“Namun, ia hanya mensasarkan dan menunding jari kepada rakyat Korea Utara sejak dari mula lagi dan tidak berganjak dengan keputusan untuk mengesahkan nama dan identiti mangsa adalah seperti yang didakwa Korea Selatan.

“Malaysia juga meminta waris mangsa untuk membuat pengecaman serta ujian DNA tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu dengan kami sedangkan mangsa yang didakwa sebagai rakyat Korea Utara,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut mendakwa, selepas 10 hari insiden tersebut berlaku polis Malaysia masih belum menemui sebarang bukti daripada suspek yang ditahan.

“Sekiranya Malaysia tidak dipengaruhi oleh Korea Selatan atau media asing, mereka sepatutnya menghormati kami di dalam siasatan kes ini.

“Malaysia telah menjalankan siasatan berdasarkan rakaman CCTV yang telah disebarkan kepada umum.

“Klip tersebut menunjukkan wanita tersebut kononnya meracun mangsa dengan tangannya.

“Kenapa suspek wanita itu masih hidup selepas insiden berkenaan?

“Ini menunjukkan cecair yang dikatakan beracun itu adalah satu jenaka sahaja dan ada sebab lain yang menyebabkan kematian mangsa,” dakwanya.- MalaysiaGazette