Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pembayaran dividen dan bonus pada kadar 12 peratus kepada ahli yang layak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia melibatlan bayaran dividen dan bonus, masing-masing sebanyak enam peratus dan bonus khas dalam bentuk unit amanah saham yang diberikan secara percuma kepada pencarum yang aktif.

Pembayaran dividen itu membabitkan sejumlah RM685.5 juta.

Menurut beliau, pembayaran itu adalah hasil daripada jumlah pendapatan LTAT sebanyak RM811 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 berbanding RM766.8 juta pada tahun sebelumnya.

“Secara purata kadar yang diisytiharkan pada tahun ini lebih tinggi berbanding purata dividen dan bonus sejak LTAT ditubuhkan sebanyak 11.3 peratus.

“Dividen dan bonus ini akan mula dikredit ke dalam akaun ahli yang mencarum mulai esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan sama, jumlah aset LTAT setakat 31 Disember 2016 meningkat 2.2 peratus kepada RM9.5 bilion berbanding RM9.3 bilion pada tahun 2015.

Akaun caruman LTAT berjumlah RM8.6 bilion berbanding RM9 bilion pada tahun 2015.- MalaysiaGazette