Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga sebelum ini pernah membuat aduan bersabit salah guna kuasa Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Muhammad Hilman Idham.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata laporan oleh NGO Selangor yang dibuat semalam bukan kali pertama, malah Rafizi juga pernah membuat laporan sama kepada SPRM, dipercayai berkaitan dengan ‘habuan seks’ yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kontroversi dalam pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali.

“Saya menyambut baik tindakan yang dibuat oleh kumpulan NGO itu dan tampil membuat laporan. Cuma, saya nak maklumkan laporan ini bukan kali pertama dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Badrul Hisham dipercayai merujuk laporan oleh Rafizi pada Mei 2016 yang menyerahkan segala maklumat tentang gejala rasuah seks kepada SPRM.

Menurutnya lagi, Hilman mempunyai kekayaan luar biasa meskipun baru dua tahun menjadi pegawai khas kepada Azmin.

Chegubard turut mendedahkan Hilman mempunyai beberapa buah kereta termasuk sebuah Audi dan sebuah Alphard selain baru sahaja membeli sebuah Toyota Altis bernombor pendaftaran BMY300.

Hilman juga dikatakan membeli hartanah berupa sebuah rumah link dua tingkat, dianggarkan berharga RM850,000, di Seksyen 7, Shah Alam pada Julai 2015.

Bukan itu sahaja, beliau turut mendedahkan Hilman mempunyai pengaruh untuk mendapatkan projek atau kerja-kerja bersabit Kerajaan Selangor.

Walaupun laporan sudah dibuat, tetapi tiada siasatan lanjutan dibuat SPRM, malah kes itu ujarnya seolah-olah ‘didiamkan’ atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Mengulas mengenai perkara yang sama beliau turut memberitahu bahawa Badrul Hisham telah menulis surat terbuka kepada SPRM dan Rafizi bertanyakan perkembangan status siasatan dakwaan terhadap Hilman.

“Tidak ada tindakan daripada SPRM yang sebenarnya pada peringkat ini adalah laporan yang harus dibuat ke atas SPRM yang tidak bertindak.

“Kerana timbul sedikit keraguan di sini adalah ketelusan dan bagaimana SPRM itu bekerja,” tegasnya. – MalaysiaGazette