KUALA LUMPUR – Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mengesa pihak Jabatan Buruh, Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat penerbangan yang gagal membuat caruman kepada para pekerja mereka.

Pekerja pekerja terlibat adalah pekerja-pekerja Rayani Air, Eaglexpress Charter Sdn. Bhd dan juga syarikat penerbangan sewa kecil, yang juga telah dihentikan operasi.

NUFAM mendakwa para pekerja syarikat-syarikat penerbangan terbabit tidak menerima dividen bagi caruman KWSP bagi tahun kewangan yang diumumkan baru baru ini.

Untuk tahun kewangan 2016 KWSP mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.7 peratus.

Kesatuan itu telah mengemukakan bukti-bukti yang mana syarikat penerbangan terbabit tidak membuat sebarang bayaran ke akaun pekerja walhal caruman telah ditolak daripada gaji pekerja-pekerja terbabit sekian lama.

NUFAM menerusi satu kenyataan berkata, lebih 500 pekerja syarikat penerbangan terlibat dalam masalah itu tetapi agensi-agensi terlibat masih gagal mengambil tindakan tegas walaupun aduan telah dibuat oleh pekerja.

Akibatnya sehingga kini para pekerja berkenaan tidak dapat menikmati dividen KWSP.

NUFAM mendakwa anggaran caruman tersebut telah mencecah lebih RM1 juta.

Kesatuan itu juga mahukan kepastian daripada agensi-agensi tersebut bahawa tindakan segera diambil sjika syarikat-syarikat penerbangan terbabit masih gagal membuat caruman.

Ini kerana, kata NUFAM, agensi-agensi penguatkuasa boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak pengurusan yang tidak bertanggung jawab. – MalaysiaGazette