Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas hari ini memberikan amaran kepada Parti Amanah Negara (PAN) agar lupakan angan-angan mahu merampas kerajaan Kelantan.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, keyakinan yang disuarakan kepimpinan PAN jelas menunjukkan angan-angan itu sekadar impian semata-mata kerana rakyat Kelantan melihat PAN adalah parti pengkhianat yang ditubuhkan oleh pemimpin serpihan Pas.

“PAN telah berusaha mengkhianati sebuah kerajaan yang dibina oleh (Allahyarham Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa oleh mereka sebagai ikutan mereka.

“Dengan pentadbiran mesra rakyat dan prinsip Islam yang dipegang oleh pentadbiran Pas di Kelantan (maka) Pas akan terus pertahankan Kelantan.

“Rakyat tidak akan terpengaruh dengan propanda PAN. Semua parti akan mendakwa mereka kuat untuk mengambil alih kerajaan Kelantan tetapi kena tengok kekuatan yang bagaimana? Berapa ribu ahli PAN di Kelantan setelah dua tahun ditubuhkan?,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata tidak mustahil partinya mampu untuk menawan Kelantan dek kerana perpecahan yang berlaku dalam Pas baru-baru ini.

Ujar Salahuddin, Pas kini dilanda perpecahan dalaman yang menyebabkan sokongan terhadap parti itu menyusut.

“Saya berani katakan yang Pas akan berpecah lagi untuk beberapa bulan akan datang. Sebelum ini PAN sudah menyebabkan separuh perpecahan keatas Pas. Akan datang yang lain akan menyebabkan perpecahan berlaku lagi dalam Pas.

“Kami sudah diajar (dalam Pas lagi) bahawa dasar kezaliman itu tidak boleh dirundingkan. Tiba-tiba hari ini jelas kami memang tak boleh biarkan dasar perpecahan. Sebab itu kami berpecah dengan Pas,” kata Salahuddin.

Presiden PAN, Mohamad Sabu sebelum ini melahirkan keyakinan dapat merampas Kelantan dari tangan Pas meskipun berlakunya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti dengan kerjasama PKR, DAP dan parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Kejayaan Pas di Kelantan sejak 27 tahun adalah kerana berpegang kepada prinsip-prinsip Islam. Rakyat Kelantan sangat bijak untuk menilai semua itu,” ujar Khairuddin lagi.

Selain Khairuddin, kenyataan Salahuddin juga dibidas oleh Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A. Samad yang beranggapan itu datang daripada mereka yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa Pas masih kuat di Kelantan.-MalaysiaGazette