Home Utama Agen saraf VX ditemui pada muka, mata mayat Kim Jong-nam

Agen saraf VX ditemui pada muka, mata mayat Kim Jong-nam

KUALA LUMPUR – Laporan makmal mengesahkan terdapat agen saraf ditemui pada badan Kim Jong-nam yang mati pada 13 Februari lalu, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bahan kimia telah dikenal pasti sebagai “agen saraf VX”.

Keputusan itu diperoleh daripada analisa awal ke atas eksibit swab yang diambil dari mata dan muka Jong-nam.

“Hasil analisa telah dikenal pasti bahawa bahan yang terlibat ialah “Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau VX nerve agent”.

Khalid berkata, VX disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1. Akta Konvensyen Senjata-Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata-Senjata Kimia (CWC) 1997.

Tambah beliau, lain-lain eksibit masih dalam proses analisa.

Kim Jong-nam dipercayai diracun di klia2 selepas mukanya diserkup dengan kain.

Ketika itu beliau sedang menunggu penerbangan ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Setakat ini, polis telah menahan tiga saspek termasuk dua wanita. – MalaysiaGazette