Datuk Seri Anifah Aman

PUTRAJAYA- Hubungan baik di antara Malaysia dan Arab Saudi dijangka dikukuhkan dengan lawatan negara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bermula Ahad ini.

Hubungan erat sejak zaman pemerintahan Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud yang melawat Malaysia pada 1970 itu diteruskan apabila negara ini dipilih sebagai destinasi pertama lawatan ke Asia Tenggara Raja Arab Saudi yang baharu selepas mengambil alih takhta pada 2015.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, antara perbincangan yang akan diadakan dengan Penjaga Dua Masjid Suci itu adalah berkenaan kuota haji.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membincangkan beberapa perkara lain yang melibatkan kerjasama lebih erat dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan serta meneroka peluang-peluang baharu di antara kedua-dua negara semasa pertemuan dengan Raja Arab Saudi itu pada 27 Februari.

Menurut Anifah, antara sektor yang boleh diterokai dan dikembangkan bersama adalah bidang pelancongan yang mana pada tahun lepas, jumlah pelancong Arab Saudi ke Malaysia melonjak sebanyak 24 peratus sekali gus menjadikan negara kaya dengan hasil minyak itu sebagai pasaran utama pelancongan Malaysia dalam kalangan kumpulan Asia Barat.

“Pelaburan di antara Malaysia dan Arab Saudi sudah berada di paras selesa tetapi kita melihat terdapat peluang kerjasama yang lebih besar di dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan tinggi, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, pelaburan Malaysia di Arab Saudi telah dipelbagaikan dan kita kini turut berada di dalam pelbagai sektor lain dan tidak tertumpu kepada industri haji sahaja.

Pada Ahad ini Raja Salman bersama kira-kira 600 delegasi akan diberi sambutan negara di Parlimen sejurus tiba ke tanah air.

Baginda akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mahmud V pada hari yang sama.

Keesokannya, baginda akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara.

Ini diikuti oleh penganugerahan Ijazah Kehormat oleh Universiti Malaya manakala pada 28 Februari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula akan menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Politik kepada baginda dalam satu konvokesyen khas.

Tambah Anifah, Raja Salman akan mengadakan pertemuan dengan mufti-mufti negeri di Malaysia dalam satu perbicangan berkenaan agama Islam.

Ini berikutan peranan baginda sebagai Penjaga dua Masjid Suci.- MalaysiaGazette