Mustafa Ali

KUALA LUMPUR – Selepas pendedahan wujudnya rundingan senyap antara parti Pakatan Harapan dan PPBM di Selangor, Pas menegaskan sebarang rundingan bagi kerusi yang akan ditandingi di negeri itu hanya akan dibuat dengan PKR tanpa campur tangan mana-mana parti lain.

PAS PKRPendirian itu dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali yang menganggap pendedahan tersebut mengejutkan kerana Pas tidak mengetahui mengenai langkah sedemikian dibuat oleh gabungan parti dalam Pakatan Harapan di Selangor.

“Saya tida percaya berita dan cerita itu,” kata Mustafa kepada MalaysiaGazette yang agak terkejut dengan pendedahan tersebut.

Terdahulu, sebuah laman portal mendedahkan Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor secara tertutup tanpa penglibatan Pas.

Menurut laporan berkenaan, PKR diberikan paling banyak kerusi berjumlah 18 kerusi dan diikuti DAP 15 kerusi, manakala parti pimpinan Mohamad Sabu, PAN menerima 14 kerusi sementara sembilan lagi diberikan kepada PPBM.

Jumlah keseluruhan kerusi DUN di Selangor adalah 56 kerusi dimana Pas bertanding 20 kerusi dengan berjaya memenangi 15 kerusi.

Jika diambil kira pendedahan tersebut, bermakna Pas akan bertembung dengan PAN da PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti di Selangor.

Mengulas lanjut, Mustafa yakin PKR tidak akan membuat sebarang keputusan dalam pembahagian kerusi di Selangor tanpa terlebih dahulu berunding dengan Pas.

“Kita masih ada hubungan dengan PKR saya tak fikir nak PKR nak commit keputusan tanpa berunding dengan Pas, mereka mesti runding dengan Pas dan takkan buat keputusan dengan Pakatan Harapan… itu saya yakin,” katanya. – MalaysiaGazette