"Di manakah api Roket yang digunakan untuk memarahi Barisan Nasional (BN) dan MCA? Kenapa DAP Selangor tidak mendesak menteri besar supaya Exco Pas dilenyapkan daripada kerajaan negeri?

KUALA LUMPUR – Tindakan PPBM yang berusaha keras dan tanpa berputus asa memujuk Pas untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dipercayai didalangi DAP yang memperalatkan parti serpihan itu demi kepentingan politik mereka.

Perkara itu didedahkan bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor yang mendakwa parti itu sudah malu dengan Pas untuk memujuk mereka bekerjasama sekali lagi selepas berakhirnya perpecahan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, kini DAP hanya memiliki satu lagi jalan iaitu dengan mempergunakan PPBM sebagai pilihan terakhir bagi memastikan perancangan mereka berjaya.

“Tiada jalan lain, DAP sudah malu dengan Pas dan tidak boleh pujuk Pas lagi.

“Jadi, satu jalan sahaja mereka ada iaitu gunakan PPBM sebagai ejen untuk rundingan kerjasama. Kalau diteliti, DAP tidak pernah bantah langkah PPBM berunding dengan Pas, mereka tidak kacau kerana sedar Pas penting demi sokongan orang Melayu,” kata Zulkifli kepada MalaysiaGazette.

Menurut Zulkifli, DAP sedar sokongan orang Melayu kepada mereka disebabkan oleh sokongan ahli Pas sebelum ini, maka mereka terpaksa membiarkan PPBM menjalankan tugas sebagai perantara bersama parti pembangkang lain.

“DAP bukan satu parti yang dikatakan kukuh dan kuat, sebelum 2008 DAP ini tidak mempunyai kekuatan langsung, ia hanya parti berpandukan kepada sekumpulan kecil pengundi Cina di bandar, sebelum 2008 dia bersendiri, tapi bila ditubuh PR maka percantuman itu DAP mendapat sokongan daripada orang Melayu

“Sokongan orang Melayu ini datang daripada ahli dan penyokong parti Pas, hanya dengan ada sokongan orang Melayu ini maka DAP dapat meningkatkan kerusi DUN dan di Dewan Rakyat, bukan atas kekuatan DAP itu sendiri,” katanya.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Presiden DAP, Lim Kit Siang, sewaktu mendengar ucapan dasar presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Presiden DAP, Lim Kit Siang, sewaktu mendengar ucapan dasar presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.

Ketika ini, PPBM masih bersungguh-sungguh cuba memujuk PAS walaupun syarat jelas sudah dinyatakan mereka harus tidak mempunyai hubungan dengan dua parti musuh Pas iaitu DAP dan PAN.

Bagaimanapun, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini  sudah memuktamadkan tiada kerjasama politik dengan PPBM.

Semalam, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mereka masih meletak harapan untuk berunding dengan Pas bagi merintis satu “pakatan pilihan raya”.

Zulkifli berkata bukti lebih jelas DAP mempergunakan PPBM boleh dilihat apabila Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara terbuka bermesra dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemungkinan terdapat rancangan senyap-senyap antara DAP dan PPBM bagi memastikan usaha memujuk Pas itu berjaya, malah DAP yang sebelum ini bermusuh dengan Pas juga tidak menghalang PPBM daripada berterusan mengadakan rundingan, kata Zulkifli.

“Kita mesti akui lebih daripada 60 peratus ini adalah undi Pas, kalau Pas tak bagi pasti banyak kerusi mereka hilang,” katanya.

Selain itu, Zulkifli juga mendakwa kebimbangan DAP adalah sekiranya Pas dan UMNO bekerjasama sama ada secara langsung atau tidak, ia pasti merosakkan mereka untuk merampas pentadbiran Kerajaan Pusat.

“Jika Pas bekerjasama dengan UMNO secara langsung atau tidak langsung, lagi 50 tahun negara ini tidak ada siapa boleh ambil alih.

“Betul atau tidak kita kena adil dan itu adalah realitinya, politik negara kita bukan macam Amerika,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.