Anak sulung Allahyarham Haron Din, Dr. Huda Haron Din hadir pada Seminar Pemikiran Tokoh - Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Seri Dr. Haron Din, Dr. Huda hari ini menyentuh perasaan peserta ‘Seminar Pemikiran Tokoh’ apabila berkongsikan cerita mengenai tingkah laku bapanya yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Hadir dalam seminar berkenaan atas platform anak kepada pemimpin terkenal Pas itu, Dr Huda Haron menceritakan satu kisah zaman kanak-kanak beliau semasa arwah bapanya menjadi seorang tenaga pengajar suatu ketika dahulu.

Berdasarkan pengalamannya, Dr Huda berkata dia pernah melihat bapanya menerima satu sampul surat berisi wang tunai tatkala arwah selesai menyampaikan kuliah di sebuah masjid.

Namun tindakan susulan penerimaan sampul surat berkenaan membuatkan beliau lebih menyanjungi arwah bapanya itu.

“Ada satu ketika arwah mengajar kuliah di sebuah masjid, bapa saya terima satu sampul surat berisi wang tunai. Hati saya (ketika kecil) mula berbunga kerana sekejap lagi boleh makan nasi sedap. Arwah ambil masuk poket.

“Hari itu lepas salam semua orang yang hendak pulang ke rumah, arwah masuk balik ke masjid diam-diam tatkala semua lampu dan kipas susah ditutup. Saya musykil saya ikut arwah dan saya nampak arwah memasukkan ke semua duit pemberian orang tadi ke dalam tabung masjid.

“Masa itu saya kecil lagi masih belum faham kenapa mesti dalam kelam (gelap) arwah bertindak demikian tanpa pengetahuan orang,” ceritanya kepada lebih 50 peserta seminar Pemikiran Tokoh -Haron Din anjuran Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) di Dewan Muktamar Pusat Islam hari ini.

Cerita lanjut, Huda berkata, beliau sungguh berbangga dilahirkan sebagai anak kepada individu bernama Haron Din.

Keperibadian Allahyarham, katanya, menyentuh hati ramai pihak yang mengimpikan apa yang pernah beliau dan adik beradik yang lain peroleh.

“Tarbiah ikhlasnya menjangkau lebih dari insiden-insiden kecil untuk mengetuk pintu hati akan makna ikhlas itu sendiri.

“Kebaktiannya masih kita saksikan dan masih kita rasa di sini. Masih meraba-raba untuk mampu mengurus dunia tanpa mencintai-Nya,” kata Huda mengenai arwah bapanya.

Haron Din meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia, 16 September tahun lalu. – MalaysiaGazette