Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar bersama ahli kumpulan permotoran Wings yang diasaskan oleh selebriti tanahair dari kumpulan Wings sendiri iaitu Awie pada Wilayah International Motofest 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dana yang diperolehi untuk bantuan minyak percuma kepada pengguna motosikal menerusi satu program yang dilancarkan di Putrajaya semalam datangnya dari kerajaan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, ia adalah dana yang diperolehi dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bukan dana dari kerajaan tapi NGO. Saya juga pengerusi BN negeri. Tak ada kena mengena dengan duit kerajaan,” jelas Adnan

“Kita nak kurangkan tekanan kepada rakyat yang miskin. Sejak empat tahun yang lepas setiap minggu kita ada bagi bantuan keperluan harian  kepada masyarakat miskin,” katanya ketika ditanya tentang perasmian program minyak percuma untuk motosikal di kawasan Parlimen diwakilinya semalam di Putrajaya.

Program itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas beliau mencadangkan pengharaman motosikal berkuasa rendah atau kapcai daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur.

Program bantuan minyak percuma yang dikendalikan Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan itu akan diadakan dua kali di Labuan, diikuti di Bandar Tun Razak, Segambut, Bukit Bintang, Setiawangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur mulai April ini dan akan diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat.

Menurut Tengku Adnan, inisiatif itu akan diperluaskan lagi dan akan diteruskan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

Di bawah program itu, penduduk Putrajaya yang menggunakan motosikal 150cc ke bawah boleh mendapatkan petrol percuma 2 kali sebulan

Sewaktu perasmian program, sebanyak 200 pemilik motosikal menerima petrol percuma.

Adnan berkata demikian selepas merasmikan Wilayah International Motofest 2017 (WIM2017) di Dataran Merdeka.

Acara yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini membabitkan 200 kelab permotoran dari seluruh negara termasuk dari Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja dan Brunei.

Acara diadakan sempena sambutan hari Wilayah Persekutuan tahun 2017. – MalaysiaGazette