SPRM

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri ini.

“Saya tidak mahu komen, biar SPRM siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri Johor yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.

Semalam, enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Mengikut kenyataan SPRM yang dikeluarkan hari ini, maklumat awal menunjukkan kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di negeri Johor.

Turut dirampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan.

Penolong Pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru, untuk membantu siasatan.

— BERNAMA