KUALA LUMPUR – Bukan sahaja pimpinan Pas membuat keputusan tak senada berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), malah Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak searus dengan pendirian Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua pemimpin PPBM ini juga berbeza-beza pendirian sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau sebaliknya.

Dalam ceramah semalam di Paya Jaras, Sungai Buloh dimana kedua-dua pemimpin ini berucap, jika diteliti ucapan mereka wujud percanggahan dengan pendirian untuk bekerjasama dengan parti Islam tersebut.

Muhyiddin menekankan keperluan agar Pas bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk melawan Barisan Nasional (BN), tetapi Dr Mahathir pula tidak bercakap mengenainya.

“Kita dah mula menggerakkan usaha membincangkan bagaimana kerajaan baru ini harus dapat membentuk dengan dokongan rakyat.

“Kalaulah pimpinan-pimpinan yang mewakili Pakatan Harapan dan PPBM dan termasuk juga Pas bersedia untuk mengetepikan apa-apa perbezaan sesama kita dan meletakkan sasaran kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, maka sasaran kita untuk berjaya dalam pilihanraya untuk memenuhi harapan rakyat Insha Allah akan terjadi dan termakbul.

“Maka saya kira tidak ada gunung setinggi mana pun yang tidak boleh kita daki asalkan kita ada azam dan iltizam yang kuat,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir, dalam ucapannya kemudian tidak pula menyentuh mengenai Pas.

Menyebut bahawa gabungan pembangkang sebelum ini gagal kerana parti-parti komponennya hanya berjuang untuk parti masing-masing, Dr Mahathir berkata, adalah penting bagi gabungan itu bersatu menghadapi BN.

“Walaupun kita mempunyai empat buah parti, tapi jika dicantum empat buah parti, dan kita tumpukan kepada satu sahaja matlamat, percayalah, kita akan dapat bersaing dengan BN,” ujarnya. – MalaysiaGazette