Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – PKR yang suatu ketika dahulu dikatakan berjuang untuk menegakkan ketelusan dan keadilan nampaknya kini sudah lari daripada matlamat, malahan didakwa menjadi juara ketirisan dan sibuk merebut kekayaan.

Bekas ahli seumur hidupnya, Badrul Hisham Shaharin yang dipecat parti mengakui, mereka yang berada dalam PKR sekarang terdiri daripada sekelompok anak muda yang sibuk mengumpul kekayaan dengan rakus, ia terbukti dengan pendedahan dan skandal yang terpalit membabitkan individu di sekeliling Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali.

“PKR ini sama-sama kita bidankan, tapi kawan-kawan di bawah jentera ini mula rasa kecewa.

“Pertama kenapa tiba-tiba korupsi itu berlaku di kalangan kita tapi kita diam. Yang kedua kita melihat orang yang selama ini berjuang bersungguh-sungguh nak lihat PKR ini kuat akhirnya terus tertinggal tapi ada sekelompok anak muda yang tamak dan rakus duduk di sekeliling MB, Azmin Ali,” kata Badrul Hisham kepada MalaysiaGazette.

Badrul Hisham merujuk kepada satu persatu individu anak muda sekeliling Azmin yang bermewah-mewahan, bermula daripada rumah agam ala Disneyland milik Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly sehingga pendedahan terbaharu berhubung kekayaan pegawai khas Azmin, Muhammad Hilman Idham.

“Saya melihat benda ini PKR sedang menuju lebih teruk dari UMNO, kalau kita kata UMNO itu teruk PKR itu sebenarnya lebih teruk dari UMNO dalam merebut harta kekayaan,” dakwa beliau.

Dalam pada itu, Badrul Hisham juga menyelar Rafizi Ramli yang dikatakan kononnya berjuang melawan ketirisan, tetapi pada masa sama juga hidup bermewahan dan mempersoalkan jam mewah milik Ahli Parlimen Pandan itu.

“Saya dedahkan secara berani dan terbuka, saya orang pertama yang tanya jam Rafizi dahulu dan saya juga dedahkan jam beliau bernilai ratusan ribu.

“Selain itu, saya juga dedahkan mengenai seorang budak yang berdemonstrasi di SUK menghalang demonstrasi van mayat oleh Pengerusi Gabungan NGO Melayu Datuk Seri Jamal Yunos, dimana kita dapat cari budak ini dan melihat mereka hidup dengan penuh kemewahan dan saya mendapati rupa-rupanya maklumat yang diperoleh dia ini terlibat dalam projek angkut sampah,” katanya lagi.

Pembaziran dalam kerajaan PKR Selangor yang dipimpin Azmin seperti isu mengecat pintu gerbang, kubah masjid dan projek tempat letak kereta perpustakaan juga dipertikaikan Badrul Hisham yang melihat penjawat kerajaan di Selangor sudah mula bercakap-cakap mengenainya.

Badrul Hisham yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dipecat PKR pada Ogos tahun lalu dipercayai akibat pendedahan dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu status tanah Paya Wetland. – MalaysiaGazette