Lebih 1,263 pengusaha restoran makanan daun pisang d negara ini diminta tidak menaikkan harga makanan. Foto: Kumara Sabapatty

KUALA LUMPUR –  Persatuan Pengusaha restoran India Malaysia (Primas) hari ini menasihatkan pemilik restoran daun pisang supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan berikutan kenaikan harga barang, lapor akhbar Tamil Nesan hari ini.

Walaupun, harga makanan daun pisang dijangka naik mulai Mac ini rentetan kenaikan harga sayur, ikan, ayam dan daging, adalah tidak wajar harga makanan direstoran itu dinaikkan sewenang-wenangnya.

Penasihat Primas, Datuk Rena Ramalingam berkata, keputusan supaya tiada kenaikan harga makanan restoran pisang dimuktamadkan dalam mesyuarat persatuan itu Jumaat lalu.

“Kini makanan daun pisang begitu popular dan digemari pengguna pelbagai lapisan masyarakat baik untuk makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga.

“Niat untuk menaikkan harga makanan daun pisang hanya akan menyusahkan pengguna dan pelanggan kita dan para pengusaha restoran daun pisang cuba untuk tidak naikkan harga.

“Jangan menaikkan harga makanan daun pisang hanya disebabkan harga barang keperluan sayur, ikan dan daging melambung di pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rena mengakui sedar akan keresahan pemilik restoran daun pisang yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan agak melampau dan pulangan tidak seberapa.

“Saya tahu hakikat bahawa mereka terpaksa berdepan pelbagai masalah kewangan dan perniagaan lembap oleh kerana harga barang melambung selain harga daun pisang mahal.

“Sebelum ini sehelai daun pisang dijual pada harga 15 hingga 20 sen sahaja tetapi sejak dua tahun lalu ia dibeli dengan harga 30 hingga 50 sen sehelai.

“Senario itu memaksa pengusaha restoran daun pisang membeli daun pisang dari Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Bagaimanapun, dalam mesyuarat tadi kami memutuskan supaya lebih 1,263 pengusaha restoran yang mengendalikan lebih 5,300 kedai makanan daun pisang supaya tidak menaikkan harga menjelang Mac ini,” ujarnya.

Timbalan Presiden Primas, J. Suresh pula mengakui cuaca tidak menentu, dan kos pengangkutan turut menyumbang kepada kenaikan harga daun pisang yang mengakibatkan pemilik premis terjejas. – MalaysiaGazette