Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Bagi individu yang berkemampuan, apalah sangat dengan wang tunai yang diagihkan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tetapi bagi golongan yang memerlukan BR1M, walaupun permohonannya telah diluluskan tetapi selagi wang tersebut tidak berada di tangan, ia menjadi satu kebimbangan.

Gara-gara risau tidak menerima (BR1M) telah mendorong seorang wanita menelefon Menteri Kewangan Kedua pada tengah malam beberapa hari sebelum bantuan itu diagihkan mulai 18 Februari lalu.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkongsi cerita itu berkata: “Saya sudah tidur apabila telefon bimbit saya berbunyi. Bila terus berdering saya angkat juga, manalah tahu ada kecemasan.

“Saya dengar suara seorang kakak, saya kenal. Dia tinggal di kawasan saya (Parlimen Titiwangsa).

“Dia minta maaf sebab hubungi saya tengah malam. Tapi dia kata terpaksa telefon kerana tidak boleh tidur. Dia risau kalau tidak dapat BR1M,” katanya yang berkongsi kisah itu semasa pelancaran Aplikasi Semakan BR1M di Dewan Hasil, minggu lalu.

Johari berkata, beliau memahami kerisauan tersebut tetapi meminta kakak itu tidur dulu kerana khuatir kesihatan
dia akan terjejas.

“Saya kata padanya, kakak tidur dulu. Esok saya pergi kerja, saya akan semak status kakak dan akan maklumkan selepas itu,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata, situasi kakak tersebut menunjukkan bantuan kerajaan itu dihargai oleh penerima-penerimanya terutama dalam keadaan kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Johari meminta penerima-penerima BR1M menggunakan Aplikasi Semakan BR1M yang diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk membuat permohonan dan menyemak status masing-masing.

Ini kerana, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan penerima-penerima BR1M untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

“Ini berlaku di kawasan saya. Mereka datang beritahu boleh tolong isikan segala butiran dan penerima perlu memberi komisien pada bayaran BR1M yang diterima.

“Jadi untuk mengelakkan perkara-perkara seumpama ini berlaku, gunakanlah aplikasi ini. Kalau tidak ada telefon bimbit, mintalah anak-anak tolong buat semakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette