Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) meninjau keadaan rumah Residensi Kerinchi yang baru dirasmikan di Jalan Kerinchi Bangsar, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2017.
KUALA LUMPUR – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan kepada rakyat seharusnya tidak dijadikan sebagai isu politik kerana ia turut dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tidak wajar berkata bahawa BR1M itu sebagai rasuah.

“Semalam, saya berbual dengan beberapa menteri Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi akan buat beberapa langkah. Pertama, mereka buka akaun penduduk di Arab Saudi untuk dimasukkan duit kepada keluarga yang memerlukan bantuan.

“Maka, jika kerajaan Arab Saudi bagi bantuan dalam bentuk wang, dana kepada rakyat mereka yang memerlukan bantuan, mereka tidak anggap itu rasuah, kalau kita buat ada yang anggap rasuah.

“Itulah saya kata jangan politikkan, BR1M bukan rasuah, BR1M hendak tolong rakyat yang memerlukan bantuan. Kita tidak kata dapat BR1M mesti sokong kerajaan BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Residensi dan Kenduri 1Malaysia Wilayah Persekutuan kawasan Lembah Pantai di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 470 penghuni menerima rumah masing-masing yang berkeluasan 900 kaki persegi.

Mengulas mengenai majlis itu Najib melahirkan kemusykilannya apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar didakwa cuba menggagalkan projek perumahan untuk rakyat di kawasannya apabila membawa perkara itu ke mahkamah.

Apa yang dilakukan oleh Nurul Izzah itu, katanya, jelas menunjukkan wakil rakyat PKR itu mahu menjadikan perkara itu sebagai satu agenda politik.

“Kalau projek ini berjaya nama Barisan Nasional naik. Akhirnya dia gagal dan projek ini menjadi kenyataan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Najib turut memberitahu, Arab Saudi sebagai negara yang kaya dengan hasil minyak turut akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, ia jelas menunjukkan langkah Malaysia melaksanakan cukai itu pada tahun 2015 bukan langkah yang salah.

“Kerajaan Arab Saudi akan perkenalkan GST tak lama lagi, maknanya kita bukan lakukan langkah yang salah.

“Kerajaan Arab Saudi yang kaya dengan minyak pun perkenalkan GST, maka adalah sebab yang munasabah GST diperkenalkan,” katanya.-MalaysiaGazette